Rabu, 26 Mei 2010

Angkara pencuri kabel

2010/05/27
PENDUDUK menunjukkan kabel yang dicuri di longgokkan di tepi 
landasan.
PENDUDUK menunjukkan kabel yang dicuri di longgokkan di tepi landasan.
Penduduk tidak dapat perkhidmatan, TM Kelantan kerugian RM27,000

DABONG: Angkara pencuri kabel, penduduk sekitar Slow Pak Abu, di sini terus kempunan menikmati kemudahan telefon dan internet apabila kabel yang baru dipasang Telekom Malaysia Bhd (TM) Kelantan sejak sebulan lalu, dicuri sekumpulan empat lelaki, termasuk seorang yang mati digesel kereta api, baru-baru ini.
Selain menyebabkan penduduk kampung terus kehampaan, TM Kelantan pula kerugian RM27,000 apabila kabel telekomunikasi sepanjang 300 meter itu rosak ekoran kecurian yang berlaku di kampung terbabit.
Pengurus Besar TM Kelantan, Rashid Che Othman, berkata pemeriksaan pihaknya mendapati kecurian membabitkan kabel telefon itu bersaiz 50 pasang (setiap pasang mengandungi 100 wayar kecil di dalamnya) masih dalam proses untuk diagihkan kepada penduduk yang berhasrat melanggan kemudahan itu.

“Kami mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM27,000 apabila kabel yang baru dipasang itu dicuri, sebelum sempat kemudahan perhubungan ini diagihkan kepada rumah penduduk sekitarnya.

“Kabel yang dijumpai berhampiran mayat mangsa yang mati digesel kereta api, sepanjang kira-kira 300 meter yang baru dipasang sebulan lalu,” katanya.

Rashid berkata, kecurian kabel dipercayai dilakukan antara jam 1 hingga 5 pagi sebelum kumpulan pencuri terbabit menyusun komponen itu atas landasan bagi memudahkan tembaga di dalamnya dikeluarkan sebelum dijual sebagai barangan lusuh.
"Sejurus menerima maklumat kejadian itu, petugas TM meninjau lokasi terbabit dan sudah membuat laporan polis berhubung kecurian yang berlaku.

"Ini adalah kes pertama tahun ini membabitkan seorang pencuri kabel TM mati ketika sedang memproses komponen yang dicuri mereka," katanya.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu, tidak menafikan kes kecurian kabel TM semakin berleluasa di semua daerah seluruh negeri ini hingga menjejaskan pelanggannya terutama pengguna kemudahan internet Streamyx.

"Berikutan itu, kita meminta penduduk kampung terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan ini sama ada kepada TM atau polis di mana-mana balai berdekatan," katanya.

Dalam kejadian di Kilometer 40.5 laluan Bukit Abu-Manek Urai kira-kira jam 7 pagi kelmarin, seorang lelaki yang sedang leka menyusun kabel telefon atas landasan sebagai cara mudah mengeluarkan komponen tembaga di dalamnya, mati digesel kereta api.

Mangsa yang dipercayai tidak menyedari kehadiran kereta api yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Gemas itu, digesel hingga tercampak kira-kira dua meter dari landasan dan mati akibat cedera parah di kepala serta patah kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abd Rahman Jaafar, berkata beberapa longgokan kabel telekomunikasi turut ditemui di sekitar kawasan kejadian.

Seorang penduduk, Suhaimi Awang, 57, berkata sejurus kemalangan kelmarin, beliau menyedari bahawa kabel telekomunikasi yang dipasang di hadapan rumahnya sudah dipotong sebanyak enam tiang.

Katanya, beliau percaya pemotongan kabel tersebut berlaku antara pukul 1 hingga 5 pagi.

"Sebelum ini pun sudah banyak kes kecurian kabel berlaku di kampung ini sehingga merebak ke dalam kawasan estet berdekatan (Ladang Sungai Teku)," katanya.

Timur: Loji air kontang

2010/05/18

Dua pusat rawatan sudah lumpuh, 17 berdepan risiko sama

KOTA BHARU: Dua loji rawatan air (LRA) milik syarikat utiliti, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di negeri ini sudah lumpuh, manakala 17 lagi berdepan risiko sama jika kemarau yang melanda negeri ini sejak Februari lalu berterusan sehingga menyebabkan sungai yang menjadi sumber bekalannya, semakin cetek.
Dua loji AKSB iaitu Kelar di Pasir Mas dan Tualang di Kuala Krai, terjejas operasi masing-masing, berikutan paras air Sungai Kelantan di muka sauk loji itu cetek di bawah paras ia beroperasi.
Ketika ini, 17 loji lagi mampu bertahan kerana keupayaannya beroperasi menyedut air untuk diproses ketika laut pasang, walaupun kemudiannya terpaksa berhenti seketika apabila paras sungai kembali surut.

Walaupun 17 LRA itu masih mampu beroperasi pada tahap 100 peratus pengeluaran, tetapi AKSB kini mengharapkan kerjasama semua pelanggannya berjimat dalam penggunaan air harian keluarga masing-masing.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Hazwan Hassan, berkata operasi pengeluaran semua LRA yang bersumberkan sungai, kini bergantung kepada turun naik paras air yang berubah dari semasa ke semasa.

“Walaupun tiada hujan dalam tempoh terdekat ini, tetapi paras air Sungai Kelantan sentiasa berlaku pasang surut pada masa-masa tertentu, kerana tahap kecetekan air sebelum ini sehingga 40 peratus kini sudah pulih.
“Bagaimanapun, AKSB menasihatkan 182,419 pengguna di negeri ini dapat menjimatkan penggunaan bekalan air harian dengan hanya mengutamakan keperluan asas saja seperti minum, mandi dan membasuh, selain mengelak mencuci kereta atau menyiram pokok,” katanya.

Hazwan berkata, AKSB juga berusaha mengelak gangguan bekalan air walaupun dalam keadaan yang kritikal akibat kemarau dengan melakukan catuan bekalan menggunakan lori ke kawasan yang bermasalah.

Mengulas kebimbangan kenaikan mendadak bil air walaupun masa sama pengguna tidak menerima bekalan air, beliau berkata, pengguna yang berdepan masalah itu diminta tampil membuat laporan di mana-mana pejabat AKSB berdekatan untuk penyelesaian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Wan Mohd Sulaiman Wan Ismail ketika dihubungi, mengakui paras air Sungai Kelantan kini semakin cetek berbanding musim kemarau yang pernah dialami sebelum ini.

“Berdasarkan keadaan semasa, jika tiada hujan dalam tempoh beberapa hari ini, mungkin paras sungai akan cetek ke tahap kritikal.

“Saya berharap semua pengguna tidak panik dengan keadaan itu, sebaliknya bersabar dan berdoa semoga hujan turun dalam tempoh terdekat ini demi kebaikan semua,” katanya.