Selasa, 1 Jun 2010

Lagi rungutan di Felda- Kelapa Sawit berdaun emas

 Gagal laksana amanah
2010/06/02

Peneroka dakwa ladang dipenuhi semak, belukar sejak diurus anak syarikat Felda

KOTA TINGGI: Sejak mendapat hak milik tanah pada 2002, kira-kira 629 peneroka Felda Air Tawar 1 memberi kepercayaan penuh kepada anak syarikat Felda Bhd, Felda Technoplan Sdn Bhd menguruskan tanah mereka secara profesional supaya hasil tanaman meningkat sekali gus memakmurkan ekonomi mereka.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan gagal melaksanakan amanah itu sepenuhnya menyebabkan peneroka kecewa dan sebahagian daripada mereka rela mengerjakan tanah secara sendirian.
Sehubungan itu, dianggarkan lebih 300 daripada 629 peneroka Felda terbabit secara berperingkat-peringkat keluar daripada pengurusan Felda Technoplan sejak 2004 sehingga awal tahun ini.

Mereka sanggup mengeluarkan modal dan melakukan kerja ladang secara individu dan terbukti pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM3,000 sebulan.


Terbaru, 60 daripada 329 peneroka yang masih di bawah pengurusan Felda Technoplan sudah menghantar notis keluar dan bertekad untuk mengusahakan ladang secara individu. Difahamkan, kira-kira 100 peneroka lagi juga dijangka mengambil langkah sama tidak lama lagi.

Peneroka, Kasim Emat, 57, berkata selepas sembilan tahun ladang sawitnya diusahakan oleh syarikat terbabit, beliau terkejut dan kecewa apabila mendapati ladangnya dipenuhi semak samun dan bertukar menjadi belukar.
Beliau berkata, selama ini syarikat terbabit mendakwa ladang dan pokok sawit akan diurus dengan baik dan akan memberi pulangan pendapatan yang menguntungkan kepada peneroka selepas sembilan tahun ladang mereka diuruskan.

“Kebun saya menjadi belukar seperti tidak pernah diusahakan manakala kebanyakan pokok tidak lagi berbuah dan ada pokok yang mati. Walaupun kami dapat wang sara hidup RM1,500 sebulan, kami tetap membayar kos mengurus ladang RM2,500 sebulan. Semua ini akan menambah beban hutang yang kami tanggung dengan sehingga kini hutang kami sudah mencecah lebih RM45,000, " katanya.

Peneroka, Rahman Ismail, 60, turut tidak berpuas hati dengan kerja pengurusan ladang yang dijalankan oleh syarikat terbabit.

Sehubungan itu, beliau sudah menghantar notis keluar daripada pengurusan Felda Technoplan pada April lalu dan akan mula mengusahakan sendiri bermula bulan depan.

“Mengikut perjanjian, selepas 15 tahun, pendapatan kami akan ditentukan berdasarkan jumlah hasil sawit daripada ladang. Bagaimanapun, jika beginilah cara syarikat itu uruskan, kami memang tak yakin. Kalau sembilan tahun pokok sawit kami tidak berbuah, lebih baik kami usahakan sendiri dengan modal sendiri, " katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Air Tawar 1, Ramli Atan menasihatkan peneroka terbabit supaya berfikir panjang sebelum bertindak keluar dan menguruskan ladang secara individu.

Mereka diingatkan supaya menimbangkan beberapa perkara antaranya soal kemampuan mereka dari segi kewangan, tenaga buruh mengurus ladang dan memasarkan buah sawit tanpa melalui Felda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan