Jumaat, 11 Jun 2010

Jambatan reput tunggu mangsa

2010/06/10
Laluan berusia 40 tahun hubung Pengkalan Chepa, Kota Bharu kini bagai perangkap maut

KOTA BHARU: Lebih 5,000 penduduk dari lima kampung di jajahan ini, menggesa kerajaan negeri membaiki segera jambatan kayu di Kampung Lapan Pari di sini, yang seolah-olah menjadi jambatan maut.
Jambatan berusia lebih 40 tahun itu kini menjadi laluan utama kepada penduduk terutama pelajar untuk ke sekolah di Pengkalan Chepa dan Kota Bharu. Lima kampung yang menjadikan jambatan itu sebagai laluan utama ialah Kampung Che Deris, Kampung Jaya Setia, Kampung Taman Buaya, Kampung Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan Kampung Lapan Pari.

Tinjauan Berita Harian mendapati, jambatan kayu sepanjang kira-kira 20 meter dan lebar 1.5 meter itu, hanya boleh dilalui satu hala sehingga memaksa kenderaan dari sekitar Pengkalan Chepa untuk ke lima kampung itu terpaksa menunggu giliran bagi menggunakan jambatan itu.

Selain sempit, lantai jambatan itu juga perlu dibaik pulih kerana beberapa keping papannya sudah reput dan menunggu mangsa.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, Sharifudin Yunos, 40 berkata setiap kali menggunakan jambatan itu, beliau bersama pengguna lain terdedah kepada bahaya terjatuh ke dalam sungai itu memandangkan lantai kayunya sudah reput.
Katanya, setiap kali musim tengkujuh, jambatan ini akan menjadi lebih bahaya kerana lantainya licin selain ciri keselamatannya tidak disediakan seperti pagar jambatan.

“Sebagai seorang pendidik, saya amat bimbang apabila melihat pelajar menggunakan jambatan ini kerana mereka terdedah kepada bahaya dan ada pelajar dan orang kampung jatuh ketiga melalui jambatan ini akibat motosikal mereka bergesel dengan kenderaan lain.

“Saya dibesarkan di Kampung Tanjung Baru 40 tahun lalu dan sudah sinonim dengan jambatan itu yang sering kali dibaik pulih selepas musim banjir, sudah bertahun ia menjadi kemudahan ramai, namun tidak pernah diusahakan oleh kerajaan negeri untuk menggantikannya dengan sebuah jambatan konkrit,” katanya.

Pesara, Mohd Noor Daud, 55, berkata, beliau sentiasa berulang alik untuk ke Pengkalan Chepa atau Kota Bharu menggunakan motosikal dan bimbang apabila berada di atas jambatan itu.

“Jambatan kayu ini sudah terlalu lama serta berbahaya kepada pengguna dan harus diganti dengan sebuah jambatan baru yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan negeri terutama wakil rakyat di kawasan ini supaya segera mengambil tindakan terhadap jambatan kayu ini sebelum berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini nanti terutamanya kepada pelajar yang selalu menggunakannya untuk ke sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan