Khamis, 26 Ogos 2010

JERANTUT: Penduduk Taman Seri Damak di Jalan Jerantut-Benta, di sini meminta pihak berkuasa menangani masalah lalu lintas di persimpangan masuk ke taman itu yang berbahaya kepada pengguna.

Mereka memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah mengkaji risiko dan mengakhiri kebimbangan pengguna dengan memikirkan kaedah terbaik bagi memastikan mereka dapat memasuki persimpangan berkenaan dengan selamat.

Malah, lebih 500 penduduk di situ turut mencadangkan supaya dibina, lampu isyarat, pembahagi jalan dan garisan kuning keselamatan di kawasan berkenaan dengan segera sebelum berlaku kes kemalangan maut.
Difahamkan, kemalangan kerap berlaku di persimpangan taman perumahan yang mula diduduki sejak lima tahun lalu sehingga menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan pengguna terutama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak yang terletak berdekatan persimpangan itu.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Melayu Damak, Mohamad Razman Sidek, 37, berkata pembahagi jalan sewajarnya dibina bagi memastikan kenderaan dari kedua-dua arah dalam keadaan berjaga-jaga terutama kenderaan yang berhenti di tengah jalan sebelum masuk itu ke kawasan itu.

Setiap kali kenderaan hendak memasuki taman ini, mereka yang menunggang motosikal terpaksa berhenti di tengah jalan sesak dengan kenderaan dari kedua-dua hala dan ia amat berbahaya.

JKKK sudah menghantar surat kepada pihak berwajib memohon pembinaan lorong keselamatan di situ tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas, katanya.
Pengerusi Taman Seri Damak, Ahmad Norzaha, 49, pula berkata, persimpangan itu terdedah kepada bahaya, terutama penduduk yang berulang alik ke tempat kerja dan pelajar ke sekolah berdekatan.

Semua jenis kenderaan berat termasuk lori balak dan treler bermuatan kerap melalui jalan ini dan dikhuatiri mengundang kecelakaan kepada pengguna kerana tiada lorong berhenti sebelum masuk ke taman ini, katanya.

Seorang penduduk, Siti Norshariza Kassim, 21, berkata JKR perlu memasang lampu amaran kuning sebelum persimpangan itu supaya pemandu sentiasa berwaspada dan memperlahankan kenderaan.

Sering kali pemandu gagal memperlahankan kenderaan dan tidak menghiraukan keselamatan pengguna yang berhenti di tengah jalan untuk masuk ke taman itu, katanya.

Sementara itu, ADUN Damak, Datuk Lau Lee, berkata isu itu akan dibawa ke pengetahuan pihak pentadbir daerah dan akan dibincangkan dengan segera demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan